Latest Entries »

Thursday, March 25, 2010

Pocong Tersengih Di Dalam Tandas

Ini satu kisah seram. Begitulah kata pembuka surat yang dibuat oleh Dikmas kepadaku. Kau tahu tak kenapa Junaida tidak lagi bersekolah di sini? Semuanya gara-gara kisah seram di dalam tandas aras empat. Aku tidak tahu bagaimana lagi hendak kusampaikan cerita ini kepadamu. Junaida masih mencintaimu, Awi.

Ah! Cinta monyet semua ini? Nafsu remaja memang liar, aku begitu tandus dengan kegersangan cinta sehingga terjerumus ke lembah monyet. Cinta monyet, cinta terlarang. Ustazah Faradhiya sendiri sudah menegur kami berdua selepas surat cinta kami ditemui semasa 'spot check' tempoh hari. Kami bernasib baik kerana cuma diberi amaran.

"Bercinta ini besar tanggungjawabnya. Kamu masih mentah lagi. Masih teramat muda untuk menanggung beban orang bercinta. Sedangkan makan minum kamu pun ibu bapa kamu yang tanggung. Bagaimana kamu hendak menanggung cinta? Dengan duit ibu bapa kamu?" Begitulah teguran Ustazah Faradhiya.

Junaida masih mencintai awak, Awi. Awak jangan salah faham. Junaida tidak tahu bagaimana mahu memberitahu awak, oleh itu, biarlah aku sahaja yang memberitahu kepada awak. Er, sesiapa yang baca surat ini curi-curi. Ini makluman. Aku tak cinta Awi. Ini bukan surat cinta. Berani 'report' kepada Ustazah, aku lekuk kepala orang yang buat 'report' tu. Penyibuk betul.

Garang juga isi kandungan surat Dikmas. Dikmas, teman setia Junaida. Baru kini aku percaya. Aku terus membaca isi kandungan surat itu. Alah, Dikmas, kalau susah-susah, aku mengurat awak sajalah, tutur aku di dalam hati. Kting! Tiba-tiba wajah Junaida memegang pengguling tepung dengan tangan kanan sambil menghentak-hentakkan pengguling tepung itu ke tapak tangan kirinya terpapar di skrin imaginasiku. Mukanya masam mencuka. Matanya garang dan liar. Cemburulah tu!

Junaida pada malam itu, telah pergi ke tandas. Semasa hendak ke tandas, Junaida mendakwa telah ternampak satu lembaga mencangkung di dalam tandas. Junaida menyuluh ke dalam tandas. Dilihatnya seekor lembaga berwajah tengkorak dengan sisa-sisa daging reput merah, kuning dan hitam pada tulang-tulang tengkoraknya, dan berpakaian ala-ala pocong. Pocong itu berkata:

"Lain kali jangan guna lampu suluh. Buka lampu. Kan, dah kena kacau! Hi! Hi! Hi!" Pocong itu tersengih-sengih. Junaida terjerit-jerit ketakutan lalu berlari keluar dari tandas.

Pocong itu mengejar dari belakang. Entah bagaimana, Pocong itu terpijak selipar di luar tandas yang masih basah dan licin, lalu Pocong itu jatuh berguling-guling ke tangga ke bawah. Junaida tidak peduli, apa lagi berasa kasihan terhadap keselamatan hantu pocong itu. Dia berlari masuk ke bilik, menangis dengan kuat. Kami sebilik sudah terbangun sejak dari tadi. Lampu setiap 'dorm' dinyalakan. Ustazah Faradhiya dan beberapa orang warden lain berlari naik ke aras kami, terus mendapatkan Junaida.

Junaida menceritakan apa yang telah berlaku. Tidak ada seorang pun yang percaya cerita Junaida. Kau tahu, Awi, siapakah pocong itu? Pocong itu adalah hantu dari kawasan hutan seberang parit di luar sekolah kita!

Jadi, Awi, janganlah kau sangka yang bukan-bukan. Aku melipat surat penjelasan Dikmas itu baik-baik. Aku memejamkan mata, seakan-akan mahu menangis kerana berasa kesal dengan tanggapan negatifku terhadap Junaida selama ini. Junaida masih setia kepadaku rupanya. Aku melangkah keluar meninggalkan padang. Sejak kehilangan Junaida, aku sering menyendiri di padang ini.

Aku berjalan-jalan menuju ke parit di tepi pagar sekolah. Aku melihat-lihat sekitar di kawasan parit. Aku mendapati sebuah kubur lama di situ dan paling mengejutkan, kubur itu telah digali orang!


SEKIAN.

Friday, March 19, 2010

Penunggu Di Tanah Larangan

Ketika itu, Shahriman Supardi sedang berjalan pulang dari surau sekolah. Dia kemudian singgah sebentar di kantin untuk menuang air panas dari mesin air panas ke dalam termos besi yang berkapasiti 1 liter setengah.

Kemudian entah bagaimana, dia terlajak lalu di kawasan larangan. Di kawasan itu didirikan satu nisan yang diperbuat daripada batu. Menurut Pak Erwan, tukang sapu sekolah, nisan itu didirikan sebagai satu tanda terdapat kubur lama di kawasan larangan itu.

"Berhenti, jangan lalu! Situ ada kubur lama!" Laungan Pak Erwan tempoh hari terngiang-ngiang di telinga Shahriman Supardi.

Menyesali dirinya sudah terlajak memijak kawasan larangan, Shahriman Supardi pun bergementarlah. Dia bimbang dirinya terkena badi.

"Dulu ada seorang tukang rumput tercantas pokok-pokok di kawasan larangan ini. Tak sampai beberapa jam, tukang rumput itu jatuh sakit. Mulutnya berbuih-buih. Rupa-rupanya ada kubur lama di sini. Sudah ramai yang cuba memindahkan kubur ini tetapi gagal. Oleh itu kubur lama ini kekal di sini." Sekali lagi, terngiang-ngiang suara Pak Erwan. Tahyul! Tahyul semua ini, kata hati Shahriman Supardi.

Namun rasa bergementar tidak alah juga olehnya. Shahriman Supardi bimbang dirinya akan menerima nasib yang sama seperti tukang rumput yang dirahsiakan namanya itu.

"Maaf, tok penunggu. Walaupun cucu tahu ini semua tahyul, cucu mohon lalu untuk pulang ke asrama," ujar Shahriman Supardi dengan nada yang takut-takut.

"Tidak mengapa," tiba-tiba kedengaran satu suara garau dan serak yang teramat sangat, seolah-olah suara orang tercekik tulang ikan puyu di balik pokok buah katak puru yang berselirat urat-urat kayunya. Shahriman Supardi semakin bergementar, dia mahu lari tetapi tulang-tulang kakinya seolah-olah sudah hilang dan otot-otot kakinya sudah lembik seperti getah keping yang boleh digulung-gulung. Shahriman Supardi jatuh melutut dengan spontan.

"Te.. terima kasih, Tttok!" Tergagap-gagap Shahriman Supardi menuturkan kata-kata penghargaan itu.

"Tetapi dengan satu syarat! Tok dahaga, Tok mahu air. Selepas cucu berikan air, barulah Tok beri izin cucu untuk lalu. Nak berjoget atau 'shuffle' pun boleh," ujar penunggu di kubur lama itu.

"Bbbaikk... Tok," Shahriman Supardi lalu menuangkan air dari termosnya ke dalam penutup termos yang serba guna itu. Lalu, dengan cermat dia meletakkan penutup termos yang dijadikan cawan itu di tepi batu nisan kubur lama itu.

"Ini sahaja yang ada Tok, kantin tutup. Kalau tidak cucu beri Tok minum air sirap."

"Cukuplah air suam-suam kuku ini. Kalau Tok minta Root Beer, mana cucu mahu cari," balas Tok Penunggu Kubur Lama. Air di dalam penutup termos itu berasap-asap dan semakin surut dan mengering.

"Ahh, dan ada Pepsi di langit," kata Tok Penunggu.

Shahriman melihat ke langit dan kelihatan belon Pepsi melayang-layang. Agaknya tali pengikat belon Pepsi itu terputus lalu belon Pepsi itu terbang ditiup angin yang lalu.

"Terima kasih, cucu. Sekarang cucu boleh pergi." Suara Tok Penunggu Kubur Lama tidak lagi seserak dahulu. Namun nada garaunya kekal sediakala.

Shahriman pun mengambil penutup termos lalu berlalu pergi. Sejak itu, Shahriman Supardi sering dilihat menuju ke kawasan kubur lama itu.

Sebulan kemudian, Shahriman didapati sering menyertai pertandingan 'shuffle' yang diadakan di mana-mana sahaja. Tidak kira peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Dia juga sering mendapat tempat pertama dan mengharumkan nama sekolah. Misteri kehandalan 'shuffle' yang dimiliki oleh Shahriman menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

SEKIAN.

Wednesday, March 17, 2010

Hantu Siling Berambut Panjang

Hayakallah dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam siri parodi cerita seram. Ramai orang sudah mula tertanya-tanya, apakah parodi? Di sini sebelum saya melanjutkan cerita, maka biarlah saya jelaskan dengan ringkas apa yang dimaksudkan dengan parodi. Mungkin anda pernah dengar perkataan satira. Parodi itu satu bentuk komedi, sindiran atau jenaka. Di sini, saya menjenakakan cerita seram. Penulisan parodi ini sebenarnya memiliki mesej atau teguran atau sindiran yang berkaitan dengan isu-isu tertentu, tetapi, biarlah tidak langsung agar tidak menyinggung perasaan orang lain secara jelas. Saya menjadikan cerita seram itu sebagai medium parodi. Maka jadilah parodi cerita seram.


Dan beginilah ceritanya...

"Emmmakkkk...! Mmmaaakkkk!" Suatu hari Siti memanggil Remlah.

"Iya? Ada apa?" sahut Remlah.

Remlah bukannya ibu kandung Siti. Remlah sekadar pembantu rumah sahaja. Namun kerana sudah sekian lama Siti membesar bersama Remlah, maka Siti yang baru berusia lima tahun itu sudah menganggap Remlah sebagai ibunya. Ibu kandung Remlah, Puan Rohida Samentar adalah seorang ibu tunggal, dan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

"Kamu ini keanak-anakan, sih. Memanggilnya begitu, menakutkan bibi."

Ternyata, Remlah enggan membahasakan dirinya sebagai emak kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan Puan Besar.

"Emak, Siti dapat kawan baru!" beritahu Siti.

"Kawan Siti itu di mana?" Remlah yang sedang sibuk menggosok baju enggan melayan kehendak Siti. Dia sekadar bertanya sahaja sambil terus mengosok baju-baju Puan Besar.

"Di dapur! Emak, itu kawan Siti!" jerit Siti.

"Di mana?" Remlah memanjangkan lehernya, pura-pura memandang ke dapur, tetapi matanya masih tidak lekang memerhatikan kain yang digosoknya.

"Itu yang berwarna hijau itu!" jerit Siti.

"Oh, yang berwarna hijau itu. Ah, sudah ketemu Kroko kamu ya?" Remlah pura-pura sudah nampak 'kawan' Siti. Baginya, 'kawan berwarna hijau' yang berwarna hijau itu ialah patung mainan buaya kepunyaan Siti yang hilang tempoh hari. Siti memanggilnya 'Kroko'.

"Bukan, Mak! Bukan 'Kroko'! Lihatlah, kawan Siti, matanya merah-merah saja!" kata Siti lagi.

"Oh, Alfred. Siti mainlah dulu dengan Alfred. Bibi mahu sudahkan kerja ini. Sebentar..."

"Bukan Alfred! Makk!! Mari! Mari!!" Siti menarik tangan Remlah. Remlah terjinjit-jinjit ke dapur.

"Sitiii!!! Sitiii!!! Kain! Kainnya! Ya, Tuhanku!" Remlah mulai bimbang. Bimbang kalau-kalau pakaian Puan Besar hangit dimakan terma panas seterika elektrik itu.

"Itu! Itu kawan Siti! Comelkan, mak?" Siti tersengih-sengih sehingga sepet mata bulatnya.

Remlah ternganga. Dia menggeletar. Seekor makhluk yang sebaya kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan tercegat di dapur. Matanya merah garang, kulitnya agak hijau kekuningan. Sudah pasti kerana kesan revolusi telekomunikasi masa kini.

"Itu kawan Siti. Mari," Siti kelihatan garang menarik tangan Remlah. Dia mahu Remlah mendekati makhluk tersebut.

Liang-liang roma Remlah terasa sejuk. Kaki Remlah lemah longlai.

"Itu... tuyul!!!" Jerit Remlah sekuat-kuat hatinya.


-0-


Sudah beberapa hari Puan Rohida Samentar bercuti gara-gara mahu menjaga Siti. Siti enggan ke taman asuhan kanak-kanak. Siti mengamuk apabila hendak dibawa ke sana. Amukannya lain macam. Siti gigit ibu jari kaki cikgu di taska. Siti gigit ibu jari kawan-kawan di sana.

"Kenapa Siti gigit ibu jari Cikgu Mok?" tanya Puan Rohida Samentar. Cikgu Mok sudah takut dengan Siti.

"Siti tak mahu orang lain, Siti mahu emak!" radang Siti.

"Kan Mama ada di sini?"

"Bukan! Siti mahu Emak!"

Emak yang dimaksudkan oleh Siti itu ialah Remlah, pembantu rumah yang telah melarikan diri tempoh hari.

"Emak kamu itu sudah lari! Habis baju-baju emak kena curi!" Puan Rohida meninggikan suaranya sedikit. Emosi barannya tercetus gara-gara teringatkan perbuatan Remlah.

Puan Rohida menyangka Remlah yang melarikan baju mewahnya. Dia tidak tahu baju mewah itu telah hangus dimakan haba seterika elektrik. Dia tidak tahu ada sesuatu di dapur rumah yang menakutkan Remlah. Dia tidak tahu Siti berkawan dengan makhluk tersebut.

Bukan setakat baju sahaja, barang-barang kemas Puan Rohida juga sudah banyak yang hilang. Buat sementara waktu, Puan Rohida enggan mencari pembantu rumah. Namun, kini, masalah lain pula yang timbul. Siti tidak mahu ke taska.

"Bukan Emak yang curi!"

"Habis, kamu ingat siapa? Toyol?" Nampaknya begitulah sikap Puan Rohida sehingga dia ditakuti oleh orang-orang bawahannya. Seorang majikan yang tegas dan garang, terutama apabila berkaitan dengan soal untung rugi.

"Eh, Mama tahu?" Siti ternganga. "Mama cerdik!"

"Aaa? Mana ada toyol! Semua itu karut!" nafi Puan Rohida.

"Tapi tadi, Mama kata ada!" Siti memuncungkan mulutnya. Keningnya diberatkan ke bawah.

Puan Rohida mati akal.


-0-


Malam itu gelap. Puan Rohida tiba-tiba ternampak kelibat Siti di bucu katilnya. Siti gigit ibu jari Puan Rohida.

"Eish! Budak ni, mana belajar gigit ibu jari kaki ni!"

Minta dibuatkan airlah tu, fikir Puan Rohida di dalam hati. Puan Rohida mengantuk, dia pun memanggil Remlah. Senyap. Selalunya Remlahlah yang buatkan air untuk Siti.

Puan Rohida menepuk dahi. Dia bangkit dari katil. Stresnya masih belum hilang. Dalam keadaan mengantuk itu dia ke dapur. Rumah itu besar. Dapurnya juga besar.

Puan Rohida berjalan perlahan-lahan ke dapur. Lembaga kecil itu mengekorinya.

"Nak air apa?" tanya Puan Rohida. Dia tidak memandang ke arah Siti. Matanya fokus ke arah gelas dan tin-tin berisi serbuk minuman.

"Ara...." Terdengar bisikan jawapan. Halus. Cilik.

"Aaa? Sirap? Sirap dah habislah, sayang."

"Mama buat susulah, ya?" Tidak ada jawapan daripada Siti. Puan Rohida pantas memasukkan beberapa serbuk susu ke dalam gelas. Menuang sedikit air panas dan kemudian air suam. Tidak ada apa-apa bantahan daripada Siti.

Siti ni diam semacam saja, fikir Puan Rohida. Dia mengantuk, dia tidak memandang pun ke belakang. Dia tidak pandang pun ke arah Siti. Puan Rohida terasa seram juga dengan tingkah laku anaknya sejak akhir-akhir ini. Macam dirasuk. Puan Rohida terus mengacau air susu di dalam gelas. Biar larut.

"Dah siap," Puan Rohida lantas berpaling dan memberikan gelas berisi susu itu kepada lembaga kecil yang berada di belakangnya.

Sepasang tangan kecil menyambutnya. Siti meneguk susu itu sedikit.

"Cepat minum." Puan Rohida menyandarkan dirinya pada kabinet dapur, tempat dia membuat air susu untuk Siti.

"Mama..." panggil Siti perlahan.

"Hmmm?"

"Kawan Siti pun nak."

"Aaa? Sayang mengigaulah," Puan Rohida mengeluh. Penat. mengantuk.

"Itu... kawan Siti tu."

Perlahan-lahan, kelihatan seorang anak kecil; seekor toyol, malu-malu, menampilkan dirinya dari balik almari pinggan mangkuk. Matanya merah darah dan agak tersembul keluar. Anak matanya hitam. Kulitnya hijau kekuningan. Pucat.

Toyol itu tersengih. Nampak taring dan gigi-gigi runcingnya. Puan Rohida terkeut. Semangatnya terbang. Dia pengsan.


-0-


Subuh itu, Puan Rohida tersedar. Dia mendapati dirinya di atas katil. Dia melihat jam. Sudah pukul lima pagi.

"Aku mimpi rupanya," bisik Puan Rohida.

"Mama!" Puan Rohida terkejut apabila didapati Siti ada di sebelahnya.

"Eh? Bila masa Siti tidur dengan Mama?"

"Siti jaga Mama," jawab Siti.

"Jaga Mama? Buat apa, sayang?"

"Mama pengsan malam tadi, nasib baik Pak Cik Momok tolong angkat," jujur Siti menjelaskan sambil memandang ke arah sisi katil.

Puan Rohida memandang ke sisi katil. Alangkah terkejutnya Puan Rohida apabila dilihatnya, seekor lembaga berbulu lebat dan tinggi berdiri di sisi katil. Dan, di hujung ibu kakinya, kelihatan kepala seekor toyol, sedang menganga mulut, menampakkan taring dan gigi runcingnya.

"Nak... araaa!!" Nafas panas Toyol itu terasa dekat di ibu jari kakinya Puan Rohida. Ibu jari Puan Rohida terasa seram sejuk. Semangat Puan Rohida terbang. Puan Rohida pengsan lagi.

"Araaa!!!" Toyol itu bersuara lagi. Siti ketawa terkekek-kekek.

Cerita Seram Suami dan Isteri Di Tepi Jalan

Pernah dengar kisah ini? Ini kisah seram yang berlaku pada waktu malam. Sepasang suami isteri membawa kereta di suatu lebuh raya. Suatu ketika, kereta itu rosak. Dengan lampu yang masih menyala, kereta itu diletakkan di bahu jalan. Si suami pergi ke hutan berhampiran, ke sungai mencari air.

Lama sungguh! Si isteri terus sabar menanti. Tuk! Tuk! Tuk! Seperti ada sesuatu mengetuk-ngetuk di atas bumbung kereta. Kemudian, datang seorang penunggang motosikal, memandu perlahan, mendongak ke atas bumbung kereta. Kemudian dia terus memecut laju motosikalnya.

Bunyi ketuk mengetuk makin kuat di atas bumbung kereta. Apa yang sudah berlaku? Kenapa… penunggang motosikal itu melarikan diri?

Malam terus membangkitkan kesunyiannya. Tanpa bunyi cengkerik. Cukup sunyi. Sesekali terdengar bunyi ketukan di atas bumbung kereta. Si isteri tetap tabah menanti kepulangan suaminya…

Ya… si suami sudah lama pulang, tetapi tanpa badan. Kepalanya… berada di atas bumbung kereta itu.

Kereta Waktu Malam: Kisah Seram Berdasarkan Pengalaman Sebenar

Sudahkah anda menonton, filem Jangan Pandang Belakang di panggung wayang? Jika belum, anda patut membaca ulasan filem ini. Mungkin perkataan yang lebih tepat ialah film review dalam Bahasa Inggeris? Atau perlukah saya menggunakan perkataan Bahasa Inggeris iaitu Don't Look Back untuk menjelaskan tajuk filem ini?


Filem Jangan Pandang Belakang meletak status flem seram Melayu ke tahap yang sungguh membanggakan. Kita sudah boleh nampak, wujudnya identiti filem seram Melayu.

Ini pula adalah kisah benar. Mengenai mimpi memandu kereta pada waktu malam. Anda yang telah menonton filem Jangan Pandang Belakang pasti sedar wujudnya banyak babak saka atau hantu penuntut janji yang sentiasa mengekori botol atau kendi kecil daripada tembikar itu. Namun apa yang ingin diceritakan dalam entri ini ialah kisah lain.

Ini adalah kisah seorang kawan yang mahu ke Kuala Lumpur. Dia memandu kereta tersebut ke Kuala Lumpur bersama seorang temannya. Kereta itu kepunyaan temannya. Kawan mahu ke Kuala Lumpur, tetapi tidak sampai-sampai.

Peristiwa ini berlaku ketika tiba di suatu kawasan hutan. Jalan raya yang lengang dan sepi. Ketika itu kabus agak tebal. Malam sentiasa kebiruan dan kehijauan. Gelap.

Ketika sampai di suatu tempat. Enjin kereta mati. Kawan membuka tingkap separuh. Mahu biarkan angin malam yang segar masuk ke dalam. Temannya menyuruh kawan tutup tingkap itu.

"Nanti dia masuk! Tutup!"

"Apa yang masuk?"

"Benda tu!"

"Apa benda tu?!"

"Itu!!!" Teman menunjukkan jari ke tingkap sebelah kanan. Kawan dan teman menoleh ke sebelah tingkap. Nampak ada beberapa orang budak kecil bergigi tajam seperti duri. Dahi dan tulang hidungnya bercantum, melengkuk ke luar. Sambil menganga mulut, budak-budak kecil itu memandang garang ke dalam kereta dengan matanya yang bulat dan terjegil keluar. Mereka kelihatan sungguh berselera, memandang kawan dan teman seperti sedang memandang makanan.

"Tutup!!! Tutup!!!" Jerit temannya.

Kunci kereta dipulas. Enjin tak hidup-hidup. Budak-budak kecil itu menepuk cermin tingkap beberapa kali. Ada yang lebih ganas, memanjat badan kereta dan menjenguk di cermin hadapan.

"Haaahhh!!!" Sergah budak-budak kecil itu. "Haaahhh!!!"

"Haaahhh!!!"

Brrrr....! Brrooo.....! Broooo...! Burp...! Burpp! Brooooo! Brooooom....!!!

"Haaaaaahhh!!!" Sergah budak-budak kecil berhantu itu lagi.

Tiba-tiba enjin kereta hidup. Selamat! Dah... selamat.

"Haaaahaaaaaahhh!!!" Bertalu-talu mereka menyergah kawan dan temannya dari luar kereta.

"Haaahhh?!!" Kereta bergerak perlahan-lahan. Budak-budak kecil melompat turun seolah-olah tahu bahaya yang akan dihadapi jika terus berada di atas kereta itu.

Kawan dan temannya meneruskan perjalanan pada malam itu. Mereka pasti tidak akan melalui jalan itu lagi pada waktu malam.

"Kau tak tahukah? Kawasan yang kita lalui tadi, adalah...."


TAMAT