Latest Entries »

Saturday, April 17, 2010

Kisah Pontianak Rumah Sewa

Sejak beberapa hari yang lepas, ramai ahli Rukun Tetangga mengadu tidak berani lalu di Jalan Chempaka. Kononnya di jalan itu ada seorang wanita serba putih sering berjalan ke hulu ke hilir dan mengilai panjang. Kononnya wanita serba putih itu wajahnya pucat, matanya berurat merah, air matanya berwarna hitam dan tidak berhenti-henti mengalir. Kononnya lagi, wanita itu sering menangis apabila ditegur, dan selepas itu dengan matanya yang terbeliak liar, dia akan merenung ganas ke arah orang yang menegurnya. Apa lagi, lari lintang pukanglah orang yang menengurnya.

"Aku pelik betullah Jalan Chempaka tu. Nama sahaja Jalan Chempaka, tetapi bau harumnya macam bau bunga Kemboja. Tak wangi macam bunga Chempaka," kata Usin Jerad di Warung Mak Mandin suatu hari.

"Eissh, takkan kau tak tahu Usin, Jalan Chempaka tu berhantu, ada pontianak!" ujar Muhaimin.

"Cerita-cerita hantu pontianak ni, jangan sebutlah, haram," sampuk Peon.

"Aih, memandailah kau ni, Peon. Apa, mana ada haramnya? Pontianak ni, bukannya najis mutawassitah. Haram apa pulanya," balas Muhaimin.

"Eh, apa pulak najis mutawassitah? Awak ni lulus Fardu Kifayah ke tidak?" balas Peon kembali.

"Ah... sudah-sudah, yang penting kita tahu yang di Jalan Chempaka itu, ada pontianak. Sebut betul-betul... pontianak!" Tiba-tiba Mak Mandin datang bercekak pinggang dengan senduk gulai masih di tangan kanannya. Nampaknya cerita pontianak itu turut menarik perhatiannya.

"Aih, Mak Mandin. Mak Mandin pun tahu juga cerita pontianak di Jalan Chempaka tu, ya?" tegur Muhaimin.

"Mana tidaknya, aku hari-hari lalu dekat jalan tu. Rumah anak saudara aku, si Mandir tu, ada sebuah di situ. Akulah yang mengutip sewanya, tapi tukang sewanya entah tak pernah-pernah nampak mukanya," jelas Mak Mandin.

"Habis tu, macam mana Mak Mandin kutip sewa kalau tak nampak tukang sewanya, Mak Mandin. Ini sudah kes pelik ni," Usin Jerad mula ragu-ragu.

"Entahlah, yang aku tahu, duit sewa tu elok-elok sahaja dimasukkan dalam sampul. Aku datang sahaja, tengok sampul duit tu ada dalam peti surat. Siap dengan nota lagi," jelas Mak Mandin lagi.

"Apa yang tukang sewa tu tulis, Mak Mandin?" tanya Muhaimin.

"Bagus juga bahasanya. Mak Mandin rasalah, si penyewa rumah anak saudara Mak Mandin ni, penulis novel terkenal agaknya, macam si Amiene Rev tu (Insya-Allah, dengan izin Allah). Penulis cernit seram apa tu, macam itulah agaknya," jawab Mak Mandin.

"Boleh tak Mak Mandin baca sedikit apa yang ditulisnya tu?" pinta Muhaimin.

"Dia tulis dalam bahasa orang putih. Take it or leave it. Steal it and I'll suck your blood. Not enough, and I will come into your nightmare. Come only during the sunrise or else, I will haunt you forever. Macam itulah yang ditulisnya setiap kali. Entahlah, aku pun tak tahu apa maksudnya tu," jawab Mak Mandin.

"Hm... sungguh berseni sajak ini," Muhaimin menongkat dagunya.


Take it or leave it.
Steal it and I'll suck your blood.
Not enough, and I will come into your nightmare.
Come only during the sunrise or else,
I will haunt you forever.


"Macam lirik lagu pun ada," komen Usin Jerad pula. "Memang betullah, penyewa rumah anak saudara Mak Mandin ni seorang penulis."

"Wait! Wait!" tiba-tiba Peon berbahasa Inggeris.

"Apa pula Peon?" tanya Mak Mandin.

"Aku tahu. Aku tahu apa maksud ayat-ayat tu," jawab Peon.

"Ayat ayat cinta ke?" tanya Usin Jerad.

"Bukan! Bukan, Usin. Bukan! Penyewa rumah si Man.. Mannnnndirrrrr ttttu, lang... langsuuuuiiiiir! Langsuir!" Menggigil bibir Peon untuk menyatakan pandangannya.

"Eh, kau jangan mengarut Peon. Baik orangnya tukang sewa rumah anak saudara aku tu. Bukan sahaja bayar sewa tepat-tepat tiap-tiap bulan, malah siap bagi lirik lagu lagi tu," betah Mak Mandin.

"Tapi Mak Mandin, maksud ayat-ayat yang penyewa rumah si Mandir tu tulis, menunjukkan, bahawa dia, seorang pontianak!!!"

"Haahhhh!!!" Jerit Usin Jerad, terkejut.

"Hahhh!!!" Jerit Muhaimin pula, terkejut.

"Pontianak!!!!!" Jerit Usin, Muhaimin, Mak Mandin dan dengan si Peon-Peon sekali, gempar!

Kebetulan, Opah Limah yang baru balik dari pasar, menjinjit bakulnya lalu berdekatan dengan Warung Mak Mandin, terdengar cerita itu.

"Eihh...." Opah Limah menggigil ketakutan. Dia pun menjerit, "Penyewa rumah Mandir, Pontianak!!!"

Dan jeritan Opah Limah itu kedengaran sampai ke lubang telinga Din Beca, yang kebetulan membawa Nini Asmara, anak tok penghulu yang cantik rupawan.

"Pontianak!!! Takutnya!!!" jerit Nini Asmara.

"Jangan takut, selagi Abang Beca ada di sini, Nini usah takut. Abang Beca akan lawan pontianak itu," tegas Din Beca sambil tersenyum yakin di depan Nini Asmara yang memakai blaus merah jambu. Misai nipis Din Beca memperlihatkan keyakinan Din Beca dan ini melegakan hati Nini.

"Tetapi, kenapa lutut Abang Beca menggigil?" tanya Nini sebaik sahaja mendapati kayuhan beca Din Beca semakin perlahan.

"Tidak ada apa-apa, Abang Beca cuma mahu pasang telinga sahaja," dalih Abang Beca.

Lalu, Din Beca, Opah Limah dan Nini Asmara mendekati kumpulan orang yang bercerita itu untuk mengesahkan cerita pontianak yang menyewa rumah anak saudara Mak Mandin.

"Betulkah apa yang Peon cakapkan ini? Benarkah ada pontianak menyewa rumah di Jalan Chempaka itu?"

"Sudah sah!" jawab Peon dengan yakin dan sedikit bangga, sambil mulutnya tersenyum sampai ke telinga.

"Kalau begitu, mari kita pergi ke rumah sewa anak saudara Mak Mandir itu, dan kita bakar sahaja rumah itu!" cadang Din Beca.

"Bakar! Bakar! Bakar!" jerit mereka beramai-ramai.

"Err, ada orang panggil aku ke?" tiba-tiba muncul Wan Abu Bakar, anak saudara Mak Mandin yang seorang lagi.

"Tak ada, dia orang nak bakar rumah anak saudara Mak Ngah ni ha..." jelas Mak Mandin.

"Habis tu, takkan Mak Ngah nak biarkan saja?" soal Wan Abu Bakar.

"Bakar ajalah. Rumah tu ada pontianak!"

"Pontianak!!!" jerit Wan Abu Bakar, terkejut. "Weih, tok leh jadi lagu ni (Bahasa Kelantan ke Bahasa Melayu: Eish, kalau begini, tak boleh jadi ni)."

"Bakar! Bakar! Bakar!" jerit mereka beramai-ramai.

Lalu maralah mereka, kaum manusia yang bersemangat waja, menuju ke rumah sewa Mandir, untuk membakar rumah itu.

Setelah beberapa lama berjalan, sampailah mereka semua di depan pintu pagar rumah sewa Mandir itu.

"Hm. Biar aku laung sekarang. Hei, pontianak! Keluarlah engkau dari rumah ini, sebelum aku bakar rumah ini dan engkau hidup-hidup!" jerit Usin Jerad.

"Err, Usin. Pontianak ni bukan ke dah mati?" sempat lagi Peon bertanya.

"Tak kisahlah! Janji kita lawan sama itu Pontianak. Hei, pontianak! Keluar! Keluar!" laung Usin Jerad lagi.

Tiba-tiba pintu rumah di buka. "Ya, Allah, kalian semua ni. Kalau iya pun, bagilah salam dulu. Aku tengah menulis novel ni. Hilang habis idea aku."

Kelihatan seorang lelaki yang berusia sekitar 30-an, keluar dari rumah sewa itu.

"Aah... siapa tuan rumah ni?" tanya pemuda itu.

Semua orang yang bersemangat waja itu pun menunding ke arah Mak Mandin. Mak Mandin pula, oleh kerana dia pun salah seorang daripada ahli kumpulan orang yang bersemangat waja itu, menunding jari ke arah dirinya sendiri.

"Err.. Puan. Puan datang nak kutip sewa, ya? Kebetulan saya baru dapat royalti. Aaa, ini duit sewa untuk dua bulan berturut-turut ni," beritahu pemuda itu sambil menghulurkan duit sebanyak empat ratus ringgit.

"Eih, bukan ke kau dah bayar duit sewa untuk dua bulan lepas?" tanya Mak Mandin, kehairanan.

"Eh, tak ada Puan?"

"Habis, duit siapa dekat dalam peti surat ni? Dah dua kali aku dapat duit tu?"

"Bukan saya, Puan."

Mereka semua kehairanan. Kalau pemuda yang menyewa rumah Mandir itu pun tidak mengaku, maka siapa agaknya yang meletakkan duit sewa rumah itu di dalam peti surat.

"Apa nama kau, nak?" tanya Mak Mandin.

"Buyong, Puan," jawab Buyong.

"Sahlah, Buyong, kau ni, bukan menyewa seorang diri ni. Kau berkongsi rumah dengan pontianak!"

"Err... maksud Puan, isteri saya tu ke?" tanya Buyong, sambil memandang ke arah tingkap rumahnya.

Semua mata yang ada memandang ke arah tingkap rumah sewa itu. Kelihatan seorang wanita bermuka pucat, berbaju putih, sedang merenung dengan sepasang mata merah meliar, rambut yang kusut dan air mata hitam pekat yang mengalir hingga ke bawah pipi.

"Itu, isteri saya..."

Jawapan Buyong itu, sudah cukup meremangkan bulu roma sekalian pengunjung rumah sewa itu.

SEKIAN.

Saturday, April 10, 2010

Hantu Pemanggil Di Telefon Bimbit

Malam itu Nufara sedang tidur lena. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nufara cuba mengangkat telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya terus diam. Perkara ini berulang-ulang banyak kali.

Esoknya, Nufara mengadu hal itu kepada kawan-kawannya. Dia berasa sangat hairan kerana tidak ada satu pun nombor yang keluar pada skrin telefon bimbit itu selain nombor 343 10-1 05. Pelik betul nombor telefon seperti ini.

"Aku pun ada terima jugalah panggilan. Lepas tu aku tak layan terus. Biarlah dia dengar nada dering 'handset' aku," ujar Shiqin, berseloroh.

"Aik, kalian semua dapat. Aku seorang sahaja yang tidak dapat. Panggilan daripada siapa tu?" Muslimah bertanya. Dia berasa pelik kerana dia seorang sahaja yang tidak diganggu dengan 'miss call' berhantu itu.

"Entahlah, hantu agaknya." Nufara datang dan terus menyampuk. Dia duduk di atas katil, di sebelah Janet, pelajar cina yang mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan.

"Hai, Nufara. Awak pun diganggu juga. Siapalah budak nakal ni ya?" Elyana yang duduk di penjuru katil menyapa.

"Muslimah, kenapa awak tak diganggu, ya? Janet pun diganggu," Shiqin merenung Muslimah dengan rasa curiga.

"Ah, saya tidak takut. Yesus akan lindungi saya," tegas Janet yang beragama Kristian, kemudian dia pun turut menyoal Muslimah, "Apa rahsia awak tak diganggu, ya?"

"Saya pakai... nada dering nasyid, agaknya..." Muslimah jadi ragu-ragu hendak menjelaskan pendapatnya. Kesemua mata siswi-siswi di dalam bilik itu memandang tepat ke arah Muslimah.

"Lagu nasyid apa yang awak pasang?" Soal Shiqin.

"Puji-pujian. Lagu Raihan," jelas Muslimah.

"Tapi apa kata malam ni kita cuba siasat," cadang Shiqin.

"Elok juga tu. Janet, apa kata cuba awak kaji nombor telefon si hantu tu," cadang Elyana pula.

"Sekarang pun, saya boleh kaji. Biar saya dapatkan kertas dan pen, semua sudah jadi," ujar Janet, bersetuju.

Janet mengkaji angka-angka yang terdapat dalam nombor telefon itu. 343 10-1 05. Hm, pelik. Setahu aku, tidak ada nombor telefon orang yang sebegini. Haiya, ini sungguh memeningkan kepala. Aku yakin pasti ada perkhidmatan tertentu untuk membolehkan seseorang itu menyembunyikan identiti dan nombor telefon sebenarnya, fikir Janet di dalam hati.

"Nombor 3 sama seperti Tree, pokok. 4 pula seperti seekor bangau. 10-1 seperti Ten Minus One. Sifar Lima. Apakah maksudnya?"

Janet bercakap seorang diri. Shiqin, Elyana dan Nufara memerhati catatan Janet dengan penuh minat. Muslimah diam dan tenang sahaja.

"Tunggu. Cuba kita baringkan nombor 3. Macam huruf M. Ah, apa pula dengan 4? Macam huruf A. Kita sudah dapat perkataan MAM untuk 343."

"Dan, oh apa pula 05 ini? Adakah OS? MAM 10-1 OS? Sepuluh tolak satu? Sembilan?"

"Tidak, tidak! Sepuluh tolak satu. Sepuluh = Sa Puluh. Sa Puluh tolak Satu jadi Puluh."

"Maka sekarang kita sudah dapat MAM Puluh OS?"

"MAMPUS!" Jerit Nufara! Maksud nombor telefon itu sudah terbongkar! Janet, Shiqin dan Elyana mempercayai kata-kata Janet.

"Sudah tentu, orang yang membuat panggilan curi kepada kita ini adalah orang yang sudah mampus," jelas Janet. Semua pun bersetuju.

"Malam ini kita mesti siasat!" tegas Shiqin.

Malam itu mereka berada sebilik. Telefon bimbit masing-masing diletakkan di tengah-tengah lantai beralas tikar getah. Itu bilik Nufara. Janet, Shiqin, Elyana dan Muslimah masing-masing menunggu telefon bimbit mereka berbunyi.

Jam tepat 12 malam. Telefon bimbit berbunyi satu persatu, kecuali telefon bimbit Muslimah. Semua orang sudah bergementar.

Nufara mendapat satu idea. Dia berbaring, berpura-pura tidur di sebelah telefon bimbitnya. Jari tangannya diletakkan dekat dengan butang-butang telefon bimbitnya. Dia menyuruh kawan-kawannya diam. Kawan-kawannya memahami muslihat Nufara.

Telefon bimbit berbunyi satu persatu, Nufara menekan butang 'TERIMA PANGGILAN' secepat kilat. Secepat itu juga pemanggil itu menamatkan panggilan.

"Kena! Padam muka kau, habis kredit!" Nufara tergelak-gelak. Kawan-kawannya yang lain turut tergelak-gelak.

Telefon bimbit berbunyi lagi. Kali ini bukan telefon bimbit Nufara. Telefon bimbit Muslimah jauh sekali. Nufara pun menekan butang telefon Janet lalu secepat itu juga dia menjerit:

"Padam muka. Yeyeh! Wek!" Nufara sempat mengejek si pemanggil.

"Haiya! Ini orang, siapa? Mana Janet?" Tiba-tiba kedengaran suara seorang mak cik. Nufara syak itu pasti ibu atau saudara mara Janet.

"Eh, maaf, Auntie!" Nufara memberikan telefon tersebut kepada Janet, "Emak you!"

Janet membeliakkan mata. Dia mengambil telefon itu dari tangan Nufara. Diperhatikannya nombor telefon. Ya, nombor telefon emaknya.

Janet bercakap seketika. Tiba-tiba air muka Janet berubah. Janet mencampakkan telefon bimbit.

"Bukan. Itu bukan mama I!" Janet ketakutan. Nufara melihat nombor telefon. 343 10-1 05. Ah, pandai sekali hantu itu menyamarkan diri.

"Apa dia kata, Janet?" Shiqin menggoncang-goncangkan bahu Janet. Bimbang. Cemas.

"Dia kata, ini malam, kita semua jangan buka tingkap atau pintu bilik. Ada benda memerhati dan mencari kita semua!"

Semua pelajar siswi itu ketakutan. Mereka duduk diam-diam di dalam bilik. Tiba-tiba pintu kedengaran diketuk-ketuk. Ketukan itu makin kuat. Banyak sungguh tangan yang mengetuk pintu bilik. Mereka juga mendengar bunyi tapak kaki dan besi diheret rapat ke lantai. Berdesing bunyinya. Semua pelajar siswi itu berpelukan.

"Apa kata kita buka lampu?" cadang Muslimah.

"Takut..." tutur Elyana, ketakutan.

"Apa kita kita menjerit beramai-ramai?" cadang Shiqin pula.

"Setuju..... Aaaaaaaaa," Nufara menjerit perlahan-lahan.

"Aaaaaaaahhhhhhh, makkkkkk!!!! Tolong kamiiiii!!!!!! Tolong kamiiii. Kami anaaaak daraaaa ayuuuu!!!!!" Mereka semua menjerit beramai-ramai.

Jeritan itu kedengaran begitu kuat sehingga ke luar kawasan asrama.

"Dam!" Pintu bilik ditendang dengan begitu kuat. Beberapa orang berpakaian jubah dan berserban datang menyerbu. Di kalangan mereka itu ada seorang felo asrama.

"Ahh... nasib baik tok bomoh tahu!" Elyana menangis teresak-esak.

"Bomoh? Bomoh mana?" Dr. Fatima, Felo Blok Siswi bertanya, terpinga-pinga.

"Kami dari Jabatan Pencegah Maksiat, kami mendapat laporan ada beberapa orang lelaki datang ke blok kamu, jadi kami mahu memeriksa bilik kamu," jelas salah seorang lelaki berjubah coklat.

Nufara, Shiqin, Elyana, Muslimah dan Janet terpinga-pinga. Sehingga ke hari ini peristiwa seram itu masih diingati. Misteri panggilan berhantu dan peristiwa pelajar-pelajar ternampak kelibat beberapa lembaga lelaki datang ke blok mereka masih menjadi tanda tanya hingga ke hari ini.

Apabila ditanya soalan mengenai rupa lelaki-lelaki itu kepada seorang saksi, saksi itu pun mengatakan:

"Tinggi macam pemain bola keranjang. Hitam gelap. Semuanya botak dan bogel tanpa pakaian. Hitam berkilat macam orang minyak! Saya tak nampak jelas sebab gelap sangat, tapi badan mereka tegap dan sasa memang macam lelaki. Takkanlah perempuan badan macam tu!"

SEKIAN.